Bagaimanapun, selepas tujuh tahun berkahwin, Sham mendakwa sering menjadi mangsa keganasan isterinya dan bukan setakat itu, dua daripada tiga orang anaknya yang berusia 10 dan 16 tahun didakwa turut mengikut perangai buruk ibu mereka apabila bersuhabat memukulnya jika si isteri naik angin.
KES DERA SUAMI DI MALAYSIA PERLU DIBERI PERHATIAN SERIUS - Gambar Hiasan Carian Google |
Kes suami didera perlu perhatian serius
Bagaimanapun, selepas tujuh tahun berkahwin, Sham mendakwa sering menjadi mangsa keganasan isterinya dan bukan setakat itu, dua daripada tiga orang anaknya yang berusia 10 dan 16 tahun didakwa turut mengikut perangai buruk ibu mereka apabila bersuhabat memukulnya jika si isteri naik angin.
Tidak tahan dengan penderitaan itu, Sham akhirnya membuat pendedahan di sebuah akhbar tabloid berbahasa Melayu bertarikh 10 Feb 2010 sebelum membuat laporan polis.
Naib Presiden Hal Ehwal Wanita (Helwa) Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Fadlina Siddiq berkata kes Sham bukanlah satu-satunya kes penderaan suami yang dilakukan isteri di negara ini.
Malah, ia telahpun meluas dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini namun jarang diketengahkan ke pihak media dan polis atas faktor menjaga maruah suami sebagai ketua keluarga dan memikirkan anak-anak, tidak mahu mereka menjadi mangsa penceraian.
Fadlina berkata dalam kebanyakan kes, suami didera anggota fizikalnya menggunakan objek keras seperti batang penyapu dan batang pengelap lantai.
"Tetapi, ada kadang kalanya (si isteri) suka memainkan emosi (suami); tidak mahu bercakap berminggu-minggu, menjauhkan diri dengan anak dan tidak tidur bersama suami selama mana yang mereka mahu," kata Fadlina kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.
Menurut penganalisaan bahagian kaunseling Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pula, terdapat 107 kes penderaan terhadap suami dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan 323 lagi kes kepada polis dari tahun 2008 hingga April 2013.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Rohani Abdul Karim berkata jumlah itu biarpun kecil jika dibanding dengan mangsa dera lain ia masih memerlukan perhatian serius supaya lelaki merasakan mereka juga dilindungi.
Katanya punca yang menyebabkan mereka menjadi mangsa dera ialah isteri angkuh dengan jawatan dan pendidikan yang lebih tinggi daripada suami, mempunyai sikap yang panas baran serta suami yang berperwatakan lemah lembut.
"Kadang kala ada kes berlaku kerana pengalaman lampau kes keganasan rumah tangga yang dialami oleh si isteri. Perasaan dendam atau tidak puas hati terhadap penderaannya menyebabkan dia turut melakukan keganasan terhadap suami," katanya.
"Menerusi kementerian, Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 telah digubal khusus untuk melindungi mangsa sama ada suami atau isteri, bekas suami atau isteri, kanak-kanak, orang dewasa yang tidak berkeupayaan dan mana-mana anggota keluarga lain terlibat.
"Sebagai kementerian yang prihatin, kami juga telah mengambil beberapa insiatif untuk menambah baik Akta itu. Pindaan telah diluluskan di Parlimen pada 21 Disember 2011 dan dikuatkuasakan pada 20 Februari 2012," katanya. Antara isi kandungan pindaan itu ialah memperluaskan takrifan keganasan rumah tangga daripada hanya berbentuk fizikal sebelum ini kepada turut merangkumi penderaan emosi, mental dan psikologi.
"Kami akan memperbanyakkan program seperti seminar kepekaan gender, seminar literasi undang-undang, seminar menangani keganasan terhadap wanita/lelaki dan bermacam-macam lagi.
"...kerana kami percaya apabila mereka (suami) dilibatkan sama dalam aktiviti ini suara hati mereka dapat didengari dan penambahbaikan dapat dilakukan untuk mereka pada masa depan. Tambahan, selama ini kita hanya fokus kepada wanita dan lelaki dipinggirkan," katanya. - Bernama
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment