Pages

Friday 9 August 2013

DATUK MALEK NOOR NASIHAT 'BUJANG-BUJANG TERLAJAK' TIDAK PUTUS ASA

"Mesej saya kepada para bujang terlajak ingatlah, ini sunnah Nabi Muhammad SAW. Kita naikkan martabat kita sebagai lelaki dan kita naikkan martabat seorang wanita menjadi isteri.
DATUK MALEK NOOR NASIHAT 'BUJANG-BUJANG TERLAJAK' TIDAK PUTUS ASA


Cinta untuk dijaga - Malek Noor


DATUK Malek Noor yang berkahwin buat pertama kali pada usia 57 tahun menasihatkan 'bujang-bujang terlajak' agar tidak putus asa dan berusaha menyempurnakan fitrah diri sebagai manusia.

Beliau berkata, perkahwinan adalah sunnah Rasulullah SAW dan martabat seorang lelaki menjadi tinggi apabila mengahwini seorang wanita solehah.

"Mesej saya kepada para bujang terlajak ingatlah, ini sunnah Nabi Muhammad SAW. Kita naikkan martabat kita sebagai lelaki dan kita naikkan martabat seorang wanita menjadi isteri.

"Nabi pun tak mengaku umat jika kita tidak kahwin. Sebab itu saya minta kepada bakal bapa-bapa tua tu, kahwinlah," katanya dalam satu pertemuan dengan Mega di kediamannya di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Malek yang berkahwin dengan Datin Dr. Wan Asma Wan Ismail pada 12 Mac tahun lalu berkata, walaupun beliau memperisterikan seorang ibu tunggal yang memiliki tujuh anak, beliau tidak merasakan dirinya telah berkahwin dengan seorang 'janda'.

Tarikh tersebut dipilih sendiri oleh Malek kerana pada tarikh sama beliau berdoa di hadapan Kaabah setahun sebelumnya (12 Mac 2011) memohon untuk mendapat seorang isteri solehah.

"Kalau niat kita itu betul kerana Allah, nescaya Dia melindungi semua baik buruk perkahwinan.

"Saya tidak rasa saya kahwin dengan janda. Orang di sekeliling pun tidak menyindir saya, malah mereka gembira dan mengucapkan tahniah.

"Mungkin jika saya pernah kahwin dengan orang lain ketika muda Allah akan uji dengan perbalahan dan perceraian. Tetapi Allah takdirkan saya kahwin pada usia ini dan mendapat isteri yang baik," katanya.

Ketika ditebak persoalan zuriat dan kemungkinan beliau berpoligami, Malek dengan tegas berkata, beliau percaya Allah memberi anugerah cinta untuk dijaga dan bukan menyakiti hati perempuan untuk diduakan.

Katanya, beliau sudah ada seorang anak angkat dan tujuh anak tiri serta enam cucu tiri yang memanggilnya 'papa' untuk berkongsi kasih sayang dan perhatian.

"Saya minta maaf. Bagi saya lelaki zaman ini yang mahu berpoligami sebenarnya lebih bermotifkan kebendaan dan hawa nafsu.

"Poligami itu sunnah Rasulullah SAW. Tetapi lihatlah wanita bagaimana yang baginda kahwini dan apa tujuan di sebalik pernikahan baginda.

"Lagipun bagi saya, saya sudah mengikut sunnah baginda dengan berkahwin dan Insya-Allah saya akan jaga satu-satunya isteri saya, buat segala yang Allah perintah dan tinggal larangan-Nya. Soal kepuasan dunia bukan lagi keutamaan saya," katanya.

Tambahnya lagi, beliau akan tetap mengingati janjinya dengan arwah bapa mentua, Wan Ismail Wan Ahmad yang baru sahaja meninggal dunia pada tarikh 5 Ramadan baru-baru ini pada usia 88 tahun.

"Sebelum majlis akad nikah, arwah menggenggam tangan saya dan berpesan menjaga anak perempuannya itu baik-baik. Saya ingat lagi arwah menyebut 'mu jaga anak aku molek'," katanya.


Utusan

No comments:

Post a Comment