Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata pasukan itu sedang menunggu jentera pemotong untuk memotong besi penyambung yang runtuh itu bagi membolehkan mangsa dibawa keluar.
Kerja-kerja mengalihkan sisa runtuhan sedang giat dijalankan. - Foto Sinar Harian oleh MOHD ISKANDAR OTHMAN |
Mangsa runtuhan boleh dikeluarkan selewat-lewatnya petang ini
GEORGETOWN - Pasukan mencari dan menyelamat dijangka dapat mengeluar mangsa di dalam sebuah kereta yang terperangkap dalam kejadian runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di Batu Maung selewat-lewatnya petang ini.
Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata pasukan itu sedang menunggu jentera pemotong untuk memotong besi penyambung yang runtuh itu bagi membolehkan mangsa dibawa keluar.
Katanya runtuhan tanjakan konkrit dan besi itu terpaksa dipotong lebih kecil bagi memudahkan kerja mengalihkannya dibuat.
"Seramai 350 anggota dan pengawai yang terdiri daripada polis, bomba,Jabatan Pertahanan Awam, pekerja syarikat pembinaan dan kontraktor sedang bertungkus-lumus mengalihkan runtuhan konkrit dan besi seberat beratus-ratus tan itu.
"Jurutera yang bertugas memaklumkan mangsa yang terperangkap mungkin boleh dikeluarkan tengah hari ini atau selewat-lewatnya petang ini selepas bantuan jentera pemotong tiba," katanya pada sidang akhbar di tempat kejadian di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata setakat ini sekurang-kurangnya seorang mangsa di dalam sebuah kereta jenis Perodua Kelisa warna hijau terperangkap di dalam runtuhan berkenaan.
Beliau berkata menerusi kamera khas yang digunakan bomba mendapati terdapat seorang mangsa di bawah timbunan berkenaan, bagaimanapun identiti dan jantina mangsa belum dapat dikenal pasti kerana hanya beberapa bahagian badannya sahaja yang kelihatan.
"Mangsa juga tidak memberi sebarang respons dan bila dipanggil mangsa tidak menyahut. Saya percaya beliau berada dalam keadaan kritikal berdasarkan fizikalnya," katanya.
Beliau meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga sejak semalam supaya membuat laporan polis kerana maklumat yang diperoleh setakat ini berbeza-beza.
"Ada yang kata beberapa buah kereta dan motosikal terperangkap di dalam runtuhan itu, jadi saya minta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga supaya membuat laporan polis.
"Setakat ini kita cuma nampak sebuah kereta dan kita juga gagal untuk kenal pasti nombor pendaftaran kenderaan berkenaan berikutan ia telah pecah. Kita hanya nampak nombor (pendaftaran) 437 sahaja," katanya.
Abdul Rahim berkata operasi mencari dan menyelamat sejak 12 jam lepas itu berdepan beberapa kesukaran berikutan perlu menggunakan beberapa jentera termasuk kren seberat 300 tan.
"Pelbagai usaha sedang dijalankan oleh semua pihak dan kita mendapat kerjasama yang baik daripada syarikat kontraktor termasuk beberapa syarikat lain bagi membantu melancarkan kerja operasi ini," katanya. - BERNAMA
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment