Pages

Wednesday, 8 May 2013

SEMUA ANGGOTA MCA MELAKA LETAK JAWATAN DARI PERINGKAT KAMPUNG HINGGA NEGERI

Esok, kesemua ahli MCA yang menjawat apa-apa jawatan di negeri ini...ketua kampung, ahli jawatankuasa dan kemajuan kampung, pegawai seranta, ahli lembaga pelawat hospital, penyelaras Japerun (Pejabat Jawatankuasa Dewan Undangan Negeri) semua akan letak (jawatan).

Datuk Gan Tian Loo


Anggota MCA Melaka letak semua jawatan di peringkat kampung hingga negeri esok

MELAKA - Anggota MCA Melaka yang memegang jawatan dari peringkat kampung hingga ke peringkat negeri akan meletak jawatan mereka esok.  

Pengerusi MCA Melaka Datuk Gan Tian Loo berkata keputusan itu dibuat bagi menghormati resolusi pucuk pimpinan MCA pusat yang menetapkan tiada wakil parti itu dalam kerajaan negeri ekoran prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Ahad lepas.


"Esok, kesemua ahli MCA yang menjawat apa-apa jawatan di negeri ini...ketua kampung, ahli jawatankuasa dan kemajuan kampung, pegawai seranta, ahli lembaga pelawat hospital, penyelaras Japerun (Pejabat Jawatankuasa Dewan Undangan
Negeri) semua akan letak (jawatan).
  
"Kita juga tidak akan menyertai barisan Exco kerajaan negeri Melaka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Beliau berkata ketiga-tiga calon MCA yang menang pada PRU13 iaitu Datuk Lai Meng Chong bagi kerusi DUN Machap, Lim Ban Hong (Klebang) dan Datuk Ng Choon Koon (Bemban) juga bersetuju untuk tidak menerima tawaran sebagai anggota Exco.

Katanya beliau akan berbincang dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Ir Idris Haron bagi menjelaskan pendirian itu.


Perwakilan khas MCA sebelum ini mengumumkan untuk tidak menerima sebarang jawatan sama ada di peringkat kampung hingga ke Persekutuan sekiranya parti itu mencatatkan keputusan lebih buruk berbanding pilihan raya 2008.

  
Selepas PRU12, dua anggota MCA Melaka dilantik sebagai Exco kerajaan negeri dengan Datuk Seet Har Cheow sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Pekan Kecil, Pemulihan Projek dan NGO serta Gan sendiri selaku Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran, Belia dan Sukan.
  
Seet yang merupakan bekas Adun Klebang bagaimanapun tidak tersenarai sebagai calon BN pada PRU13 manakala Gan kalah kepada calon DAP Goh Leong San di DUN Duyong dengan majoriti 205 undi.
  
Pada PRU13, MCA bertanding di tujuh DUN dan dua kerusi Parlimen di negeri ini.

Di IPOH, Datuk Dr Mah Hang Soon, yang mempertahankan kerusi DUN Chenderiang pada pilihan raya umum Ahad lepas, berkata beliau menghormati keputusan pucuk pimpinan parti dan menolak sebarang jawatan dalam kerajaan negeri jika

ditawarkan.  

Dr Mah, satu-satunya Adun BN daripada MCA di Perak, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan persetujuan yang dicapai dan diluluskan pada mesyuarat agung luar biasa parti itu sebelum ini.

  
"Sebagai orang parti (party man), saya menghormati dan menurut keputusan yang dibuat oleh parti... saya tidak akan terima (sebarang jawatan).
  
"Agenda diri tidak penting, yang penting agenda untuk seluruh masyarakat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di sini hari ini.

Dr Mah yang sebelum ini ialah Exco Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam berkata beliau akan menumpukan untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat di kawasannya. - Bernama


Sinar Harian

No comments:

Post a Comment