Pages

Sunday, 5 May 2013

NOOR ARIFF DELIA RAMLI | PEGUAM SYARIE KES CERAI AIDIL ZAFUAN DENGAN RITA RUDAINI MAUT

Mangsa, Noor Ariff Delia Ramli, 36, yang menunggang sendirian motosikal jenis Kawasaki Versys 650 mengalami kecederaan parah di kepala dan maut di tempat kejadian selepas merempuh sebuah lori tangki membawa muatan minyak kelapa sawit di persimpangan Jalan Persiaran Senawang 1.

 Aidil Zafuan
Aidil Zafuan

Peguam syarie Aidil Zafuan maut


SENAWANG – “Hajat arwah untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi bersama saya tidak kesampaian kerana dia memang teringin untuk berbuat demikian. Sebelum ini, arwah selalu bercerita tentang motosikal dengan saya dan kami saling bertukar minat dan pandangan,” demikian kata pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, 26, yang masih lagi terkejut dengan kemalangan yang menimpa peguam syarienya, malam kelmarin.

Mangsa, Noor Ariff Delia Ramli, 36, yang menunggang sendirian motosikal jenis Kawasaki Versys 650 mengalami kecederaan parah di kepala dan maut di tempat kejadian selepas merempuh sebuah lori tangki membawa muatan minyak kelapa sawit di persimpangan Jalan Persiaran Senawang 1.

Dalam kejadian jam 9.40 malam itu, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya di Senawang menuju ke Plaza Tol Senawang untuk ke Seremban 2. Bagaimanapun, ketika sampai di lokasi kejadian, dia gagal mengawal motosikalnya apabila lori tangki tersebut secara tiba-tiba membelok ke simpang kanan.

Mohd Aidil Zafuan berkata, sebelum dimaklumkan oleh abangnya kira-kira jam 11 malam, dia dalam perjalanan balik dari Johor Bahru ke Seremban untuk mengundi di Sikamat hari ini.

“Sebelum sampai Seremban, saya berniat untuk keluar di Plaza Tol Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) Senawang, tetapi saya keluar di Plaza Tol Port Dickson.

“Kalau tidak, saya tentu sempat ke tempat kejadian, saya memang terasa ralat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di luar pekarangan bilik mayat Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (HTJS) awal pagi, semalam.

Mohd Aidil Zafuan berkata, dia baru sahaja berhubung dengan arwah  berkaitan perkembangan kes perceraiannya dengan pelakon, Rita Rudaini.

“Itu kali terakhir saya berhubung dengan arwah dan selama ini arwah banyak membantu saya sekiranya saya menghadapi masalah. Arwah memang seorang yang periang dan ‘relax’ dan saya senang dengan keperibadiannya itu,” katanya yang telah mengenali Noor Ariff lebih empat tahun.

Ketika ditanya siapa yang akan mengambil alih tugas arwah dalam kes perceraiannya itu, katanya, setakat ini belum ada sebarang keputusan diambil. “Tengok macam mana dulu dan saya juga akan minta pandangan daripada pihak-pihak berkaitan yang boleh membantu saya selepas ini,” katanya.

Sementara itu, rakan mangsa, Hamidi Izwan Ahmad Soffian, 37, berkata, petang sebelum kejadian, dia baru sahaja berjumpa arwah dan minum bersamanya di Ampangan.

“Arwah macam biasa seperti yang saya kenal dia sebelum ini. Tidak ada sebarang perubahan ketara pada dirinya. Cuma kebelakangan ini saya perasan status laman sosialnya banyak menceritakan tentang kematian dan nasihat berkaitan agama," katanya.

Allahyarham Noor Ariff meninggalkan isteri, Roslinda Ismail, 37, dan dua anak termasuk yang berusia setahun.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, daripada hasil siasatan, mangsa tidak sempat membrek motosikalnya di lokasi kejadian apabila lori tangki yang datang dari arah bertentangan secara tiba-tiba membelok ke simpang kanan untuk masuk ke satu kawasan kilang di situ.

“Selepas merempuh, mangsa kemudiannya melanggar sisi kiri kenderaan berat tersebut sebelum tercampak sejauh beberapa meter. “Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya, semalam.

Menurutnya, pemandu lori tangki berusia 30 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. Dalam pada itu, Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.


Sinar Harian

No comments:

Post a Comment