Sementara itu, beliau juga menekankan bahawa DAP bukan parti Cina ekoran memiliki ramai ahli parlimen dari kaum India.
Zairil Khir Johari |
Zairil: DAP bukan parti Cina
SHAH ALAM – Kejayaan DAP dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dikaitkan dengan pendekatan ‘centrist’ yang mula diamalkan parti itu sejak tahun 2006.
Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Zairil Khir Johari memberitahu hadirin pada wacana siri ke-20 anjuran Sinar Harian yang mengupas topik Pasca PRU13 : Ke Mana Haluan Politik Melayu, semalam.
Menurut Zairil, kira-kira lima dekad lalu, DAP hanyalah sebuah parti pinggiran yang turut tidak mendapat sokongan kaum Cina.
“Ya, memang kebanyakan ahli DAP dari masyarakat Cina. Itu memang tidak dinafikan. Cuma, kita kena faham. Dalam tahun 60-an, 70-an, 80-an, akses kepada media memang kosong. Melainkan apabila melaungkan atau mengambil isu-isu yang sangat 'sensational'.
“Kerana itu, ia menampakkan DAP hanya parti pinggiran. Sama juga seperti PAS yang terpaksa menjadi parti pinggiran kerana tidak mendapat ruang dalam media massa. Kami tak berpeluang akses kepada media. Kami hanya kendalikan isu pinggiran,” katanya.
Malah menurutnya, sebelum tahun 2008 sekalipun, DAP tidak menjadi pilihan kaum Cina sendiri.
“Sebelum 2008, untuk masyarakat Cina kelas pertengahan, bagimereka pun, DAP bukan pilihan. Tahun 2003, 2005... masuk DAP? Undi DAP pun tidak mungkin. Itu yang DAP tak pernah menang kerusi sebanyak yang ada sekarang,” katanya.
Zairil yang juga ahli Parlimen Bukit Bendera menjadi panelis pada wacana anjuran Sinar Harian bersama Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.
Program kali ini dikendalikan oleh pensyarah Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Profesor Madya Dr Shaharuddin Badaruddin.
Beliau juga menyentuh soal perubahan yang dilakukan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada tahun 2006.
“Apa yang berlaku adalah pada tahun 2006, Lim Guan Eng ketika menjadi Setiausaha Agung, beliau telah menukar haluan DAP daripada sebuah parti pinggiran, kepada parti pertengahan, sederhana.
“Konsep middle Malaysia telah diperkenalkan pada tahun 2006. Sejak itu, DAP ambil pendekatan ‘centrist’. Dengan pendekatan inilah, baru kita dapat menarik orang India, orang Cina, orang Melayu daripada golongan menengah,” katanya.
Tambahnya, “jadi, saya rasa politik masa depan Malaysia adalah politik yang ‘centrist’, rasional dan berteraskan idea. Bukan politik perkauman.”
Sementara itu, beliau juga menekankan bahawa DAP bukan parti Cina ekoran memiliki ramai ahli parlimen dari kaum India.
“Saya juga nak menekankan selalu dikatakan DAP ini parti Cina. Tapi hakikatnya, DAP mempunyai wakil rakyat India yang paling ramai di Malaysia. Lebih daripada MIC sendiri selama dua penggal parlimen berturut-turut.
“Bagi penggal ini, kami mempunyai wakil dari kaum Kadazan, India, Cina, Melayu. Semua ada. Ini akan jadi masa depan dan hala tuju DAP dalam masa akan datang,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment